Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    11 maut dalam serangan udara Myanmar

    BANGKOK, 6 SEPT – Serangan udara tentera Myanmar di utara negeri Shan membunuh 11 orang awam dan mencederakan 11 yang lain, kata seorang jurucakap kumpulan bersenjata etnik minoriti yang menentang junta kepada AFP hari ini.

    Junta sedang menghadapi penentangan bersenjata yang meluas terhadap rampasan kuasa 2021 dan askarnya dituduh melakukan kekejaman berdarah serta menggunakan serangan udara dan artileri untuk menghukum masyarakat awam.

    “Mereka mengebom di dua kawasan di bandar Namhkam” pada Jumaat sekitar jam 1 pagi waktu tempatan, kata Lway Yay Oo dari Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA).

    Serangan itu mengorbankan 11 dan mencederakan 11 yang lain, katanya, sambil menambah bahawa pejabat sebuah parti politik tempatan telah rosak.

    Mangsa yang terkorban terdiri daripada lima lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak, katanya.

    Namhkam terletak kira-kira lima kilometer dari sempadan dengan wilayah Yunnan di China, dengan pejuang TNLA mendakwa menguasai bandar itu selepas beberapa minggu pertempuran tahun lalu.

    Imej di media sosial menunjukkan orang ramai mengalihkan sisa runtuhan dan membawa seorang anak muda yang kelihatan cedera.

    Satu video menunjukkan beberapa bangunan yang musnah. Wartawan AFP mengesahkan lokasi video itu di Namhkam dan mengatakan ia belum pernah muncul dalam talian sebelum ini. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda