11 maut puting beliung badai Mississippi

WASHINGTON, 13 APRIL – Puting beliung membadai negeri selatan Amerika Syarikat (AS) Mississippi, membunuh sekurang-kurangnya 11 orang, kata pegawai tatkala mereka mengumpul maklumat mengenai setakat mana kerosakan yang dicetuskan oleh ribut itu.

Menurut media AS, puting beliung itu mengakibatkan kerosakan ‘sangat dahsyat’, sekali gus mendorong Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan untuk mengeluarkan amaran tahap tertinggi.

Gabenor Tate Reeves dalam kenyataannya melalui Twitter berkata, beliau mengisytiharkan darurat ‘bagi melindungi kesihatan serta keselamatan penduduk Mississippi berikutan puting beliung dan ribut amat kuat yang melanda seluruh negeri ini’.

“Kami sedang menggerakkan semua sumber yang ada untuk melindungi rakyat dan harta benda mereka,” kata-nya sambil memberitahu penduduk bahawa ‘anda tidak bersendirian’. Agensi Pengurusan Kecemasan Mississippi melaporkan kesemua enam kematian berlaku di bahagian selatan negeri itu.

“Ini adalah laporan awal dan akan terus dikemas kini apabila maklumat diperoleh,” menurut agensi itu.

Rolanda Robinson menghubungi keluarga dan kawan dari rumah abangnya yang rosak di Monroe, La. selepas puting beliung melanda bandar itu kelmarin. – AP

Pusat Ramalan Ribut pula menjangkakan ‘ribut petir teruk’ akan berlanjutan sepanjang malam di Mississippi serta negeri jiran, Alabama dan Georgia.

“Puting beliung kuat, angin membadai dan hujan lebat semuanya mungkin berlaku,” kata pusat itu.

Terdahulu semalam, Reeves menggesa penduduk supaya memandang serius akan bencana ribut amat kuat itu.

“Tolong ambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan keluarga anda,” katanya.

Beliau kemudian menyiarkan semula pesanan daripada agensi bencana negeri yang mengingatkan orang ramai supaya menutup hidung dan mulut mereka serta mengamalkan penjarakan sosial bagi mencegah penyebaran COVID-19 jika terpaksa pergi ke pusat perlindungan ribut awam. – AFP