11 maut tanah runtuh di Indonesia

TARAKAN, INDONESIA, 28 SEPT – Anak damit kembar 10 bulan antara 11 yang maut dalam kejadian tanah runtuh di sebuah bandar Indonesia hari ini, menurut pegawai mencari dan menyelamat.

Beberapa buah rumah juga tertimbus dalam empat kawasan berasingan sekitar Tarakan di pulau Borneo, selepas hujan lebat dan angin kencang selama berjam-jam.

Lima kanak-kanak adalah antara yang mati manakala empat orang berjaya diselamatkan.

“Hujan lebat dan angin kencang mengakibatkan tanah runtuh di beberapa lokasi serentak dan beberapa orang tidak dapat menyelamatkan diri,” kata ketua operasi mencari dan menyelamat tempatan, Amiruddin memberitahu AFP hari ini. “Antara mangsa yang kami temui ialah mayat seorang bapa dan anak kembar lelakinya berusia 10 bulan,” tambahnya.

Sekurang-kurangnya 19 lagi rumah rosak di seluruh Tarakan. – AFP

Gambar serahan pada 28 September dan dikeluarkan oleh agensi pengurusan bencana Kalimantan Utara menunjukkan seorang anggota penyelamat mendukung seorang kanak-kanak selepas tanah runtuh melanda empat buah lokasi berasingan di Tarakan, bandar terbesar di wilayah Kalimantan Utara selepas beberapa jam hujan lebat yang meragut 11 nyawa. – AFP