CARACAS, 28 Jun – Peguam Negara Venezuela, Tarek William Saab, pada Rabu berkata sejumlah 11 pekerja syarikat minyak milik negara Petroleum of Venezuela (PDVSA) telah ditahan berhubung kes penyelewengan yang menjejaskan syarikat-syarikat dalam wilayah Orinoco Oil Belt.
Mereka yang ditahan merupakan pekerja depoh simpanan minyak mentah “Jose Antonio Anzoategui” dan depoh muatan di timur Venezuela. Saab berkata mereka disyaki telah melakukan tindakan sabotaj yang menyasarkan industri minyak. Beliau berkata pekerja terbabit didapati terlibat dalam kedua-dua tindakan sabotaj yang telah mengakibatkan kerugian sebanyak AS$14 juta kepada negara.
Insiden pertama pada 14 Jun menyaksikan bekalan nafta kepada dua syarikat, PetroMonagas dan Petrosinovensa, terhenti sehingga mengakibatkan kerugian dari segi minyak mentah sebanyak 175,000 tong dan AS$11.375 juta selepas pengeluarannya dihentikan. Tindakan sabotaj kedua berlaku pada 16 dan 17 Jun “apabila kesilapan yang teruk dibuat ketika memproses muatan minyak mentah ke dalam dua bot, Aries Sun dan Nerissa,” kata peguam negara itu.
Saab berkata Aries Sun sepatutnya membawa sejumlah 400,000 tong minyak mentah Zuata 300 sebagai muatan manakala Nerissa perlu memuatkan 1.8 juta tong minyak mentah Merey. – Bernama