11 pelajar menamatkan penempatan kerja diraikan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 24 JULAI – Seramai 10 orang pelajar dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan seorang dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah menamatkan penempatan selama dua bulan di Engineering Design Services (EDS), Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd dan diraikan pada majlis yang dilangsungkan di Hotel Garden Sentral, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil kepada para pelajar berkenaan ialah Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmed.

Turut hadir ialah kakitangan syarikat berkenaan dan beberapa orang pensyarah dari kedua-dua institusi pengajian berkenaan.

Shaikh Haji Khalid dalam ucapan ringkasnya menyampaikan penghargaan kepada ketua-ketua jabatan dan penyelia yang memberikan bimbingan dan latihan yang diperlukan bagi mereka menamatkan penempatan berkenaan.

“Di Serikandi, kami komited untuk menyokong negara ke arah Wawasan Brunei 2035 terutamanya bagi negara diiktiraf sebagai negara berpendidikan dan berkemahiran,” ujar beliau.

Shaikh Haji Khalid menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar yang telah menamatkan penempatan kerja bersama Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd.
Tetamu kehormat majlis bergambar ramai dengan pelajar-pelajar yang menamatkan penempatan kerja berserta pensyarah-pensyarah dari UTB dan IBTE.

Oleh itu, beliau meluaskan komitmen berkenaan dengan meningkatkan pengambilan pekerja tempatan sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk merangsang pembangunan perniagaan tempatan dan nilai-nilai dalam negara, yang mana penempatan kerja itu menggambarkan salah satu komitmen yang dilaksanakan oleh syarikat berkenaan.

Selain program-program penempatan berkenaan, me-reka juga berhasrat untuk mengembangkan lagi kerjasama dengan institusi-institusi seperti UTB dan IBTE kerana program penempatan berkenaan bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk mempersiapkan mereka bagi kerjaya masa depan.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan harapan penempatan para pelajar berkenaan di Serikandi Oilfield Services membuahkan hasil dan mereka akan dapat memanfaatkan pengalaman yang diperolehi demi kerjaya masa depan sama ada di Serikandi Oilfield Services atau industri minyak dan gas lain.

Sementara itu, dalam ucapan ringkas wakil pelajar berkenaan, Awang Mohamed Hamizah Shahul Hameed melahirkan penghargaan kepada syarikat berkenaan serta penyelia mereka dan berharap bahawa pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi akan membantu mereka mengatasi cabaran-cabaran masa depan.

Dalam temu bual selepas majlis, Awang Mohamed Hamizah menambah bahawa pengalaman yang diperolehi melengkapkan teori-teori yang diajarkan dalam kelas dengan menyatakan bahawa kerja-kerja langsung dan pengalaman bersama rakan-rakan dan rakan sekerja membantu mencapai satu matlamat.

Dengan berakhirnya penempatan berkenaan, katanya, jika diberikan peluang beliau mahu memilih Serikandi Oilfield Services sebagai kerjaya masa depannya terutamanya EDS.

Sentimen sama telah dikongsikan oleh kebanyakan pelajar penempatan yang hadir.

Sejurus ucapan-ucapan ringkas, majlis menyaksikan tayangan video membutirkan mengenai penempatan selama dua bulan berkenaan diikuti dengan penyampaian sijil kepada para pelajar sebelum diakhiri dengan gambar ramai dan menikmati hidangan ringan.

Dengan berakhirnya penempatan itu, EDS di Serikandi Oilfield Services berharap program seumpamanya akan membantu mengurangkan kadar pengangguran di negara ini dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran asas yang diperlukan bagi kerjaya masa depan.