11 pelombong maut di China

BEIJING, 6 Jun – Pihak keselamatan berjaya menyelamatkan 23 pekerja keluar dari kawasan perlombongan di timur laut China hari ini, selepas beberapa jam terperangkap di bawah tanah akibat letupan yang membunuh 11 orang dan dua yang lain dilaporkan hilang, lapor media negeri tersebut.

Sembilan pekerja lain tercedera dalam letupan semalam di lombong bijih besi yang dimiliki oleh Syarikat Huamei Group, anak syarikat China National Coal Group Co, di Benxi, wilayah Liaoning.

Ledakan itu berlaku apabila para pelombong menjatuhkan peledak ke bawah sebuah lubang lombong sedalam satu kilometer dan telah memusnahkan sistem pengangkut pit, menurut Xinhua.

Penyiar negeri CCTV sebelum ini melaporkan bahawa sebuah trak yang membawa bahan letupan telah meletup di dekat pintu masuk lombong berkenaan ketika pekerja sedang menggerudi.

Menurut Xinhua, enam pelombong telah berjaya dikeluarkan pada jam 5:20 pagi hari ini dan 17 yang lain dikeluarkan kira-kira dua jam kemudian. Kesemua mereka dilaporkan dalam keadaan baik.

Seramai 23 pelombong berjaya diselamatkan selepas terperangkap beberapa jam di Benxi, timur laut China, wilayah Liaoning, kelmarin. – Xinhua

Sementara itu, pihak keselamatan masih mencari dua pelombong yang masih hilang.

Sistem tenaga elektrik, sistem pengudaraan dan sistem pengangkut lombong itu juga telah dihidupkan semula, menurut Xinhua.

Kemalangan perlombongan maut adalah perkara biasa di China, di mana industri perlombongan mempunyai rekod keselamatan yang buruk.

Kebocoran gas membunuh sekurang-kurangnya 18 orang pekerja di lombong arang batu di wilayah tengah Hunan pada Mei tahun lepas.

Pada Disember 2016, letupan di dua lombong arang batu berasingan di rantau Inner Mongolia dan di Heilongjiang membunuh sekurang-kurangnya 59 orang. – AFP