Wednesday, November 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    11 pengamal industri hospitaliti dan akademik ditauliahkan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Seramai 11 orang peserta yang terdiri daripada pengamal industri hospitaliti dan akademik berjaya untuk ditauliahkan sebagai ASEAN National Assessors in Front Office setelah menyertai dan menamatkan latihan Train of Trainers for ASEAN National Assessors in Hotel Division for Front Office yang diadakan bermula 6 November hingga kelmarin.

    Sehubungan itu, majlis penutup dan penyampaian sijil latihan berkenaan telah diadakan di Hotel Mulia, kelmarin di mana hadir menyempurnakan penyampaian sijil ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Latihan itu bermatlamat untuk membina kefahaman dan kesedaran mengenai rangka kerja dan pelaksanaan ASEAN Mutual Recognition Arrangements for Tourism Professionals serta untuk mengiktiraf kemahiran dan kelayakan profesional pelancongan serta meningkatkan daya saing tenaga kerja pelancongan di Negara Brunei Darussalam.

    Ia juga bagi mempelajari mengenai sumber latihan yang direka khusus yang dikenali sebagai toolboxes, di mana ia merupakan inti pati bagi Penilaian Berasaskan Kompetensi dan Latihan Berasaskan Kompetensi serta menyediakan para jurulatih dan guru dengan peluang untuk mengemaskinikan pengetahuan mereka serta mendapatkan kemahiran pejabat hadapan terkini industri berasaskan kepada standard ASEAN Common Competency Standards for Tourism Professionals (ACCSTP).

    Hajah Tutiaty dan para peserta bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    Latihan dikendalikan oleh dua orang ASEAN Master Trainer dan ASEAN Master Assessors dari Filipina serta Indonesia yang ditugaskan oleh Sekretariat Serantau.

    KSSUP melalui Jabatan Kema-juan Pelancongan mengambil maklum akan pentingnya untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada pelawat-pelawat kita dan pelancongan antarabangsa.

    Ia juga selaras dengan matlamat strategik Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Pelancongan dan matlamat Manpower Industry Steering Committee untuk meningkatkan dan memberikan kemahiran dengan kompetensi serta sifat-sifat yang tepat untuk terus relevan dalam pasaran pekerjaan dan memastikan kebolehpasaran.

    Hasil daripada latihan berkenaan akan menyediakan para peserta dengan pengetahuan, kemahiran dan sifat yang relevan untuk menilai operasi pejabat hadapan, memastikan pengusaha hotel mematuhi standard perkhidmatan dan kualiti yang tertinggi.

    Latihan juga berhasrat untuk meningkatkan kualiti profesional pelancongan sebagai petugas barisan hadapan dalam industri hospitaliti ke arah meningkatkan kemahiran dan kualiti tenaga kerja pekerja pelancongan khususnya dalam bahagian hotel bagi pejabat hadapan di negara ini yang menyediakan perkhidmatan berkualiti yang cemerlang serta menegakkan imej hospitaliti Brunei yang mesra yang boleh disajikan kepada para pelancong supaya mereka mendapat kunjungan yang lebih bermakna, selesa dan benar-benar diingati di Brunei.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan menyatakan bahawa seramai 13 orang profesional pelancongan telah diiktiraf pada 2022 di mana ia menumpukan kepada profesional pelancongan untuk menjadi ASEAN National Trainers in Front Office.

    Jabatan berkenaan juga berhasrat untuk mengendalikan latihan yang serupa pada 2024 dengan bahagian-bahagian pekerja yang lain yang dikenal pasti dalam Mutual Recognition Arrangements.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda