11 selamat, 10 lagi pelombong masih terperangkap

BEIJING, 24 JAN – Selepas terperangkap hampir dua minggu, para penyelamat di timur China hari ini berjaya mengeluarkan 11 pelombong dari kedalaman beratus-ratus meter di bawah tanah, lapor media kerajaan, ketika usaha pencarian 10 lagi pelombong lainnya terus dipergiatkan.

Pelombong-pelombong berkenaan berjaya dibawa keluar sekitar jam 11 ​​pagi hari ini, lapor penyiar negara CCTV – kejayaan utama operasi menyelamat yang membanggakan negara itu.

Seorang pelombong berada dalam ‘keadaan fizikal yang sangat lemah’ dan dikejarkan ke hospital, kata CCTV.

Kesemua pelombong berkenaan diselamatkan selepas penggerudian ruang pengudaraan bagi membawa mangsa ke permukaan tanah, lapor agensi berita rasmi negara Xinhua, memetik pusat arahan operasi itu. Sementara 10 lagi masih terperangkap.

Pasukan pakar berdepan kesukaran untuk membantu pekerja itu sejak letupan di lombong Hushan di wilayah Shandong memerangkap mereka di bawah tanah ketika berlaku kenaikan paras air pada 10 Januari lalu.

Letupan itu berlaku di ruang pengudaraan, menyebabkannya tersumbat dan memusnahkan kereta kabel yang membolehkan pekerja lombong itu naik ke permukaan, kata pakar penyelamat Du Bingjian.

“Setelah rintangan tersebut berjaya diatasi, pasukan penyelamat kemudiannya memulakan kerja-kerja membawa naik pelombong yang terperangkap,” kata Du kepada Global Times.

Pekerja lombong ke-12 dipercayai terperangkap sendirian iaitu lebih 100 meter di bawah paras air yang meningkat, namun pasukan keselamatan gagal menghubunginya. Harapan bagi sembilan lagi pekerja semakin suram selepas tidak mendapat sebarang khabar daripada mereka sejak letupan itu. – AFP

Salah seorang daripada pelombong selamat dibawa naik oleh anggota penyelamat selepas terperangkap selama dua minggu pada kedalaman beratus-ratus meter di bawah tanah. – AFP