11 tentera maut, 11 hilang di Vietnam

HANOI, 18 OKT – Kira-kira 11 anggota tentera disahkan maut dan gerakan mencari besar-besaran dilancarkan bagi mengesan 11 yang lain selepas satu kejadian tanah runtuh melanda tengah Vietnam hari ini, akibat banjir terburuk dalam tempoh beberapa tahun.

Hujan lebat telah melanda rantau itu selama lebih seminggu, menyebabkan 64 nyawa terkorban akibat banjir dan tanah runtuh, lapor pihak berkuasa pengurusan bencana Vietnam, disusuli kebimbangan bahawa paras air akan terus meningkat.

Menurut laman web rasmi kerajaan, timbunan batu menimbus berek tentera di wilayah Quang Tri, dengan 22 anggota dipercayai tertanam di bawah runtuhan lumpur tebal.

“Sejak jam 2 pagi, terdapat empat hingga lima kejadian tanah runtuh, meletup bagaikan bom dan ia menyebabkan seolah-olah keseluruhan gunung akan runtuh,” kata pegawai tempatan, Ha Ngoc Duong, seperti dilaporkan laman berita VnExpress.

Ketua kakitangan am tentera, Leftenan Jeneral Phan Van Giang, memberi amaran bahawa kemungkinan berlaku lagi tanah runtuh di kawasan itu dan mengatakan bahawa penyelamat perlu mencari jalan yang lebih selamat untuk mengakses lokasi kejadian.

Sebanyak 11 mayat telah ditemui setakat ini, kata kerajaan.

Tragedi itu berlaku beberapa hari selepas 13 anggota penyelamat ditemui mati, apabila gagal menyelamatkan pekerja sebuah loji tenaga yang dilanda tanah runtuh.

Mayat dua pekerja loji berkenaan berjaya ditemui, namun 15 mangsa lain masih hilang. Paras air di Quang Tei sudah mencapai paras kedua tinggi dalam tempoh dua dekad, lapor media negeri lagi. – AFP

Gambar yang diambil pada 18 Oktober menunjukkan anggota tentera mencari askar hilang di tapak tanah runtuh di wilayah Quang Tri, Vietnam. – AFP