11 tunjuk bakat solekan

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seramai 11 orang peserta telah menunjukkan bakat dan kreativiti mereka dalam pertandingan mekap anjuran Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT), Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama M. Image Sdn Bhd.

Para peserta pertandingan yang diadakan di Dewan Studio, Pusat Belia Bandar Seri Begawan itu terdiri daripada jurusolek tempatan serta pelajar dari Pusat Pembangunan Belia.

Muncul juara dalam pertandingan berkenaan ialah Dayang Fadila binti Haji Karim yang membawa pulang wang tunai $100, tempat kedua pula dimenangi oleh Hajah Karmila binti Haji Sapar yang menerima $50 dan Dayang Siti Khadijah binti Haji Bakar di tempat ketiga menerima $30.

Para pemenang berkenaan juga menerima hadiah misteri, penginapan satu malam di Hotel Higher (untuk pemenang pertama), keahlian M-Image percuma, baucar diskaun daripada M-Image Hair & Beauty Studio dan Miss Beauty Spa di samping sijil kemenangan dan penyertaan

Sementara itu, para peserta lain juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila mereka turut menerima hadiah misteri, baucar diskaun daripada M-Image Hair & Beauty Studio dan Miss Beauty Spa di samping sijil penyertaan.

Dayang Fadilah muncul juara dalam pertandingan berkenaan.

Dengan tema Nature Inspired Fantasy, pertandingan menyaksikan panel hakim yang terdiri daripada jurusolek Malaysia yang terkenal dalam kalangan rakyat Brunei, Zarina Omar dan Tee Eliya Mohamad dari M-Image.

Dalam pertandingan berkenaan, para peserta diberi tempoh minimum untuk menyolek model masing-masing sebelum dipanggil untuk mengongsikan idea di sebalik idea mereka.

Pengarah M-Image Sdn Bhd, Hajah Khalilah Noor binti Khalid dalam ucapan alu-aluannya sebelum pertandingan menyatakan, beliau percaya bahawa masyarakat tempatan mempunyai banyak bakat dan mampu menghasilkan kerja yang baik dan berkualiti.

Bidang kecantikan adalah luas dan banya yang oleh dilakukan, ujar beliau sambil menambah bahawa ia tidak boleh hanya dijadikan sebagai pendapatan sampingan sebaliknya sebagai sumber pendapatan bagi keluarga.

M-Image berharap, acara-acara seumpamanya akan membantu menggalakkan para peserta untuk menjadi berani dan berazam dengan tidak menyerah kalah.

Hajah Khalilah Noor juga mengongsikan bahawa M-Image mempunyai rancangan untuk menubuhkan sekolah kecantikan tidak lama lagi.