11 wanita maut dihimpit

JALALABAD, AFGHANISTAN, 21 OKT – Sekurang-kurangnya 11 wanita terkorban hari ini dalam kejadian rempuhan di sebuah stadium di timur Afghanistan di mana ribuan orang telah berkumpul untuk memohon visa di pejabat konsul Pakistan, kata pegawai.

Kejadian tersebut berlaku di stadium di bandar Jalalabad, ibu negeri wilayah timur Nangarhar, selepas orang ramai berkumpul dalam usaha untuk mendapatkan dokumen perjalanan selepas pejabat konsul Pakistan meneruskan perkhidmatan berikutan penutupan selama tujuh bulan disebabkan pandemik.

Untuk mengelak orang ramai daripada berkumpul di pusat visa, pemohon telah diminta pergi ke stadium bola sepak di Jalalabad untuk menyerahkan pasport dan dokumen mereka, beritahu Attaullah Khogyani, jurucakap gabenor wilayah kepada wartawan.

“Malangnya pada pagi ini, puluhan ribu orang telah datang ke stadium bola sepak yang membawa kepada insiden tragik ini,” kata jurucakap gabenor wilayah Attaullah Khogyani.

Saksi Abdul Ahad berkata wanita telah diberikan keutamaan untuk berdiri di depan orang ramai. Di Afghanistan menjadi kelaziman wanita berbaris berasingan dengan lelaki.

“Apabila pegawai mengumumkan pintu akan dibuka pada pagi, semua orang meluru masuk ke stadium untuk menjadi orang pertama menyerahkan pasport mereka,” beritahu Ahad kepada AFP. – AFP

Wanita berkumpul di luar pintu masuk ke stadium bola sepak berikutan kejadian rempuhan yang membunuh sekurang-kurangnya 11 wanita apabila orang ramai memohon visa Pakistan di Jalalabad kelmarin. – AFP