11 warga Myanmar terkandas di Brunei dihantar pulang

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Hasil penyelarasan yang erat antara Kementerian Luar Negeri Myanmar, Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan, warga Myanmar yang terkandas sejak Mac lalu di Brunei akhirnya dapat pulang ke tanah air mereka.

Seramai 11 orang warga Myanmar termasuk seorang kakitangan kedutaan, empat orang bawah tanggungan dan enam orang pekerja yang menamatkan kontrak kerja di negara ini terbang ke Kuala Lumpur melalui Penerbangan Diraja Brunei BI 873, hari ini sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Yangon, esok menerusi Penerbangan Bantuan (Relief Flight) 8M 5002 Myanmar Airways International yang diuruskan oleh kerajaan Myanmar.

Duta Besar Myanmar ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Htin Lynn dan kakitangan kedutaan telah hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas untuk mengucapkan selamat berlepas dan menyampaikan penutup mulut dan hidung, sarung tangan dan hand sanitisers.

Tuan Yang Terutama juga menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Brunei Darussalam atas kebenaran untuk warga Myanmar tinggal lebih lama di negara ini disebabkan pandemik, yang menjadikan penerbangan untuk pulang sukar dilakukan.

Salah seorang warga Myanmar melambai tangan sebelum memasuki ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
TYT U Htin Lynn bergambar ramai bersama beberapa orang warga Myanmar yang dihantar pulang menerusi penerbangan khas, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.