110 Kontena sisa toksik dari Romania ditinggalkan

ISKANDAR PUTERI, 19 JULAI – Sebanyak 110 unit kontena berisi bahan buangan debu jenis ‘electric arc furnace’ (EAF) berasal dari Romania dikesan ditinggalkan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bulan lepas, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata penemuan bahan buangan terjadual berstatus transit seberat 1,864 tan itu dilaporkan oleh pihak PTP pada 3 Jun dan kemudiannya disahkan sebagai bahan buangan terjadual oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 15 Jun.

“Hasil siasatan mendapati maklumat dalam borang deklarasi tidak sepertimana yang terkandung dalam kontena berkenaan (sebelum ini diisytiharkan membawa pekatan zink). JAS selaku pihak berkuasa Konvensyen Basel tidak pernah memberikan kelulusan dan menerima notifikasi daripada pihak pengeksport untuk buangan tersebut transit di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kontena berkenaan di Wisma Kastam PTP, hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Zaini Ujang, Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar serta pihak pengurusan PTP.

Menurut Tuan Ibrahim, bahan buangan debu EAF diklasifikasikan sebagai buangan toksik dan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW104 di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling.

Justeru, beliau berkata pihak JAS telah memaklumkan pihak berkuasa Konvensyen Basel bagi Romania untuk urusan penghantaran balik 110 unit kontena ke negara asal serta pihak Interpol untuk siasatan lanjut.

“Penemuan bahan buangan terjadual jenis debu EAF yang hanya transit di Malaysia sebelum dijadualkan ke Indonesia itu, merupakan penemuan terbesar dalam sejarah Malaysia,” kata beliau.

Katanya, bahan buangan terjadual jenis EAF yang dihasilkan daripada industri berasaskan besi dan keluli mengandungi logam berat yang amat berbahaya seperti zink, ferum, kromium, kadmium dan plumbum.

“Jika tidak diuruskan dan dikendalikan mengikut prosedur tertentu, akan menyebabkan kesan buruk bukan sahaja terhadap alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan,” katanya. – Bernama

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua, kanan) mengambil sampel bahan buangan terjadual jenis EAF berasal dari Romania yang diambil selepas 110 unit kontena berisi bahan itu ditinggalkan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bulan lepas. – Bernama