11,000 lari ke Uganda akibat pertempuran

GENEVA, 9 NOV – Sekurang-kurangnya 11,000 pelarian menyeberang masuk ke Uganda untuk melarikan diri daripada pertempuran di barat Republik Demokratik Congo yang tercetus pada hujung minggu, menurut Agensi Pelarian PBB hari ini.

Jumlah kemasukan pelarian memasuki Uganda adalah yang terbesar selama lebih setahun, kata jurucakap UNHCR, Shabia Mantoo, menambah sebahagian besar daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.

“Pertempuran di barat DR Congo memaksa sekurang-kurangnya 11,000 orang untuk melarikan diri ke sempadan memasuki Uganda sejak malam Ahad,” Mantoo memberitahu semasa taklimat di Geneva. “Pertempuran antara kumpulan militan dan tentera DR Congo berlaku di wilayah utara Kivu iaitu Rutshuru.”

Kira-kira 8,000 pencari suaka menyeberang bandar Bunagana dan 3,000 lagi berada di tempat pemeriksaan sempadan di Kibaya. “Ramai yang datang membawa makan, alas tidur, pakaian dan binatang ternakan,” kata Mantoo.

Pemberontak menyerang tentera pada malam Ahad, menurut pegawai DR Congo, menyebabkan penduduk lari ke sempadan. Pihak tentera menyalahkan kumpulan yang digelar M23, salah satu daripada 120 kumpulan bersenjata yang berkeliaran di kawasan tersebut.

UNHCR telah memindahkan kira-kira 500 pencari suaka ke pusat transit Nyakabande, yang mampu menempatkan sehingga 1,500 orang. Mereka telah diuji bagi COVID-19, mendaftar dan diberi air, makanan, pelindungan sementara dan barang keperluan lain seperti selimut, kata Mantoo. – AFP