PARIS, 16 DIS – Kira-kira 110,000 pas kesihatan palsu sedang diedar di Perancis, kata kementerian dalam negeri hari ini, dengan ratusan siasatan dilancarkan ke atas pengeluar dan pengguna dokumen palsu tersebut.
Pas kesihatan, menunjukkan bukti vaksinasi, pemulihan COVID-19 atau keputusan ujian negatif baru-baru ini, diwajibkan untuk memasuki pengangkutan awam, restoran dan acara budaya. Ketika mereka menyiasat pengguna dan pengedar dokumen palsu itu, polis telah mendapati kakitangan kesihatan ada kalanya bersubahat dalam komplot, kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin.
“Masalah dengan pas kesihatan palsu adalah mereka selalunya membabitkan komplot doktor sebenar atau jururawat,” beritahunya kepada France 2. Ia menjadikan kesalahan ’amat sukar dibuktikan.’
Kira-kira 100 orang telah ditahan hasil daripada 400 siasatan sejak pas kesihatan menjadi mandatori dalam sebahagian daripada kehidupan awam, kata Darmanin. Mereka berdepan hukuman penjara lima tahun, katanya, menambah sesetengahnya telah pun dijatuhi hukuman penjara digantung. Bulan lalu, seorang doktor yang didakwa menjual sekurang-kurangnya 220 pas kesihatan palsu di rantau Paris telah didakwa. – AFP