112 ikuti Taklimat Life Saver 995

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Seramai 112 orang peserta daripada beberapa buah agensi swasta dan sekolah kerajaan telah menyertai Taklimat Life Saver 995 yang dijalankan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini, pada 8 dan 9 September, seramai 45 orang yang terdiri daripada pengurus dan staf dari Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd telah menghadiri taklimat yang diadakan di Pandu Lalu McDonald’s Jerudong Park.

Manakala itu, pada 10 September sebelah pagi, seramai 31 orang yang terdiri daripada pengurus dan staf dari Royal Brunei Catering Sdn Bhd telah menghadiri taklimat yang diadakan di Bangunan Teknikal Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Terbang Lama, Berakas.

Pada sebelah petang pula, seramai 36 orang yang terdiri daripada guru, kakitangan serta peniaga kantin dari Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Sungai Akar telah menghadiri taklimat berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Siti Salmiah binti Awang Abas dan Timbalan Pengetua Pentadbiran, Pengiran Mohd Ariffin bin Pengiran Haji Aliuddin.

Kenyataan menyatakan bahawa semasa taklimat berkenaan, para peserta didedahkan mengenai pentingnya keselamatan kebakaran dan juga keselamatan semasa mendaki bukit serta keselamatan di pantai.

Para peserta turut mempelajari secara teori dan praktikal mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul mengikut kelas-kelas api yang ditangani.

JBP menawarkan taklimat keselamatan kebakaran dan Kursus Marsyal Bomba selama tiga hari di mana bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Bahagian Perhubungan Awam di talian 2380409 sambungan 111.

Para peserta mempelajari mengenai penggunaan alat pemadam api secara praktikal semasa Taklimat Life Saver 995. – Gambar serahan JBP