Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mencatatkan sebanyak 115 kes baharu jangkitan koronavirus yang menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 2,380 orang.
Terdapat satu kluster baharu telah dikesan yang membawa jumlah kluster aktif kepada 43 kluster.
“Kluster baharu tersebut dinamakan Kluster 2262 yang mengandungi enam kes,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
“Terdapat 48 tambahan kes baharu kepada 13 kluster aktif yang sedia ada. Kes-kes dalam kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya,” kongsi Yang Berhormat Dato.
Selain itu, terdapat tiga kes import turut dicatatkan yang mana dua kes tiba dari Belanda, satu kes melalui Singapura pada 13 Ogos 2021 menaiki penerbangan Singapura SQ 148 dan satu lagi melalui Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2021 menaiki penerbangan Diraja Brunei BI 874.
Kes import ketiga tiba di negara ini dari Ireland melalui Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2021 dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 874. Manakala, terdapat 59 kes masih dalam siasatan untuk mengetahui sumber jangkitan.
Yang Berhormat Dato menjelaskan pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu itu masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.
“Dalam pada itu, 35 kes disahkan sembuh hari ini membawa kepada jumlah kes yang sembuh kepada 613 kes. Ini bermakna pada ketika ini, terdapat 1,757 kes aktif di Negara Brunei Darussalam,” tambahnya.
Menurutnya lagi, dalam kalangan kes-kes aktif tersebut, lima kes dalam keadaan kritikal yang mana empat daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (ventilation) dan satu lagi kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).
Sementara itu, 29 kes lain juga sedang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi. Dalam pada itu, terdapat lapan kes yang merupakan ibu-ibu mengandung sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.
“Pada 26 Ogos 2021, satu lagi kes yang juga merupakan seorang ibu mengandung telah selamat melahirkan seorang anak lelaki di pusat berkenaan. Pada masa ini, ibu dan anak damit tersebut adalah dalam keadaan yang baik,” kongsinya lagi.
Selain itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,658 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 220,826 ujian.