112 kes baharu, 147 kluster aktif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Negara Brunei Darussalam mencatatkan 112 kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 8,262 orang.

Daripada jumlah tersebut, terdapat 17 tambahan kes baharu kepada 12 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan statistik harian negara pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Menurutnya lagi, terdapat tiga kluster baharu telah dikesan iaitu Kluster Rentokil Initial yang melibatkan sebuah rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan yang mengandungi sebanyak 16 kes, Kluster 5671 yang mengandungi sebanyak 10 kes, dan Kluster Al-Rejek Sdn Bhd yang mengandungi lima kes. Ketiga-tiga kluster berkenaan adalah kluster rumah kediaman yang membabitkan 31 kes.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

“Dalam pada itu, dua kluster telah tamat setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster tersebut selama 28 hari,” jelas Yang Berhormat Dato.

Kluster-kluster yang diisytiharkan tamat ialah Kluster Semporna Enak dan Kluster 1597.

Oleh yang demikian, jumlah kluster yang aktif adalah 147. Manakala itu, terdapat 64 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Dalam pada itu, 159 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh sebanyak 5,933 manakala kes aktif ialah sebanyak 2,267 kes,” tambahnya.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, enam kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 34 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,793 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 388,614 ujian.