$112,300 disumbangkan bagi Tabung Bantuan COVID-19

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Kementerian Kesihatan telah menerima sejumlah $112,300 untuk Tabungan Bantuan COVID-19 yang diterima daripada beberapa pihak dalam sama-sama membantu kerajaan menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, cek-cek sumbangan berkenaan telah diterima daripada Hiew H Y Construction Sdn Bhd yang menyumbangkan $50,000; Mandarin Machinery Company Sdn Bhd berjumlah $5,000; Jong Enterprise sebanyak $300; Persatuan Golf Brunei Darussalam sebanyak $4,000 manakala itu, cek bernilai $53,000 diterima daripada Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). 

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga menerima tiga buah kereta salon yang disewakan secara percuma oleh Syarikat Stratarent Services pada 11 September lalu. 

Sementara itu, pada 10 September lalu, dua penderma turut menghulurkan sumbangan iaitu The Cizzahra Crochet yang menyumbangkan crochet mask extender dan MyDobi Batu Bersurat yang menyumbangkan pelbagai jenis minuman tiga dalam satu serta biskut.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan bolehlah berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

Hiew H Y Construction Sdn Bhd menyumbangkan cek bernilai $50,000 kepada Kementerian Kesihatan.
Antara sumbangan yang disampaikan oleh Syarikat MyDobi Batu Bersurat.
Syarikat Stratarent Services menyumbangkan tiga buah kereta sewa secara percuma.