113 dikuarantin, siasatan dijalankan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Berikutan dengan dua kes positif yang dilaporkan baru pulang ke Malaysia dari negara ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa pada masa ini penyiasatan mengenai kedua-dua kes ini sedang dijalankan, di mana kontak yang berhubungan dengan kes-kes berkenaan telah dikenal pasti.

Sehubungan itu, kesemua kontak kes telah diarahkan untuk menjalani ujian makmal SARS-CoV-2 dan menjalani kuarantin selama 14 hari, di mana setakat ini, seramai 113 orang telah dikuarantin.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Semasa sesi soal jawab pada sidang media berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa dua orang pesakit tersebut adalah warganegara Malaysia, yang mana seorang daripadanya berada di Brunei sejak Februari tahun ini bagi menjalani penempatan kerja di Brunei selama tiga bulan dan baru pulang ke Malaysia.

Manakala seorang lagi merupakan petugas yang bekerja di Brunei yang menamatkan perkhidmatannya dan pulang semula ke Malaysia.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media berkenaan.

“Jadi, bila mereka pulang ke Malaysia didapati bahawa swab mereka itu positif, dan penggunaan ujian (test kit) di Malaysia adalah sama seperti di Brunei iaitu menggunakan PCR.

“Dengan PCR ini, ia sangat sensitif dalam pengesanan virus, cuma ia tidak membezakan antara virus itu masih hidup atau mati. Jadi, apa yang diperhatikan, virus lama berkenaan boleh sahaja kembali semula dan mereka mungkin mendapatinya di sini,” tambahnya.

Bagaimanapun, menurutnya, risiko mereka mendapatinya di sini masih ada. Justeru Yang Berhormat Menteri Kesihatan menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada walaupun negara ini tidak mencatatkan sebarang kes baharu dalam tempoh lebih sebulan.

“Kementerian Kesihatan akan terus mengingatkan orang ramai tentang tanggungjawab kita terutama dalam penjarakan sosial dan perkumpulan yang tidak penting dilarang,” tekannya.

Kekhuatiran itu, jelasnya lagi, memang ada dan jika orang ramai terutama yang berisiko tinggi hendak berjalan-jalan, mereka dinasihatkan untuk melakukannya jika perlu sahaja dan memakai penutup mulut dan hidung.

“Setakat ini, daripada penyiasatan awal Kementerian Kesihatan, tidak ada menunjukkan kontak dengan pesakit-pesakit yang dirawat sebelum ini, akan tetapi seperti yang saya katakan, penyiasatan masih dijalankan dan jika mereka mendapat jangkitan daripadanya (pesakit-pesakit yang dirawat sebelum ini), ia nampaknya mereka mempunyai virus yang tidak menunjukkan simptom selama ini,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sehubungan itu, apabila ditanyakan mengenai sama ada negara akan menimbangkan agar mana-mana individu meninggalkan negara ini terlebih dahulu menjalani swabing dan hanya dibenarkan keluar sempadan jika disahkan negatif, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjawab bahawa dengan kes ini termasuk dua kes pada bulan lalu, ianya dalam penelitian Kementerian Kesihatan dan sedang dipertimbangkan sama ada perlu atau tidak dilakukan.

“Kalau ada pun, bagaimana kita akan melaksanakannya, ia perlu perbincangan dengan agensi-agensi lain juga untuk memastikan jika kita mahu membuat seperti ini, apa alirannya dan prosedur operasi standard- nya,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Pada sesi soal jawab tersebut juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa sebelum ini dan pada masa ini, pihak kementerian masih membuat saringan, dan beliau percaya bahawa mesti ada kes yang kita terlepas sebelum menutup sempadan kerana penyakit tersebut bermula pada hujung Disember dan Negara Brunei Darussalam telah menutup sempadan pada bulan Mac.

“Kemungkinan itu memang ada, oleh kerana itu kami mengadakan ujian antibodi baru-baru ini dan berharap dalam masa terdekat kita akan membuat beberapa lagi sebelum kita de-escalate lebih lanjut. Tujuannya untuk memastikan jika ada, ianya terhad dan tidak ada penyebaran besar berlaku,” jelasnya lagi.

Menyentuh mengenai penggunaan penutup muka dan hidung di sekolah, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa penggunaannya di sekolah dimestikan di tempat-tempat (negara) yang berlaku penyebaran komuniti yang luas, dan Negara Brunei Darussalam tidak mempunyai senario berkenaan.

“Walau bagaimanapun, adalah dinasihatkan, bukanlah mandatori, para penuntut untuk memakai penutup mulut dan hidung. Akan tetapi tidak semestinya menggunakan penutup mulut dan hidung pembedahan asalkan ia sejenis kain sudah memadai,” kongsinya.

“(Perkara) yang mandatori ialah seperti mereka yang menghidangkan makanan di kedai-kedai, apa-apa jenis makanan sama ada makanan segera atau restoran, pada masa anda menghidangkan makanan dan minuman, itulah dimestikan atau mandatori,” tekan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Berhubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa baru-baru ini terdapat lebih 50 peratus daripada mereka masih tidak mematuhi peraturan.

“Walau bagaimanapun, surat amaran (notice) telah diberikan, dan pusingan seterusnya kami akan membuat pemeriksaan, jika mereka masih gagal, maka kita akan segera membawa mereka ke mahkamah,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.