113 kes baharu, 3 lagi kluster kediaman dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 113 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 12,823 orang.

Terdapat 50 tambahan kes baharu kepada 11 kluster aktif yang sedia ada pada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara berkenaan dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Yang Berhormat Dato kemudian memaklumkan bahawa terdapat tiga kluster baharu dikesan, melibatkan 27 kes.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

“Kesemua kluster baharu ini merupakan kluster kediaman di mana dua daripadanya iaitu Kluster HHY Construction Staffhouse dan Kluster KYG Construction Staffhouse adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas Yang Berhormat Dato.

Sementara itu, tiga kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam selama 28 hari iaitu Kluster 3095, Kluster 6679 dan Kluster 6874, menjadikan jumlah kluster yang aktif kepada 174 kluster.

Dalam pada itu, terdapat 36 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa sebanyak 173 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 10,448 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,291 kes.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa lapan kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, di mana kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan tiga daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 20 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,249 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 493,147 ujian.