113 lagi terima vaksin di Pangkalan Batu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Seramai 80 orang telah tampil untuk mendapatkan vaksin mereka di klinik vaksinasi bergerak di Sungai Liang, kelmarin.

Manakala di Pangkalan Batu, klinik vaksinasi bergerak telah memberikan vaksin kepada 13 orang pesakit dari 10 buah rumah yang dikunjungi di kawasan berkenaan semalam.

“Hari ini, jumlah keseluruhan yang telah mendapatkan vaksinasi mereka di Pangkalan Batu adalah seramai 113 orang,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini.

Menurut beliau lagi, melihat kepada usaha Kementerian Kesihatan sejak klinik bergerak itu dilaksanakan, respons penduduk di beberapa lokasi vaksinasi itu diadakan adalah
menggalakkan.

Ia adalah salah satu usaha kementerian berkenaan untuk memastikan semua rakyat dan penduduk di negara ini mendapat vaksinasi mereka dengan terus melaksanakan Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak di seluruh negara.

Penduduk kampung mendapatkan suntikan semasa Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak di Pusat Kesihatan Sungai Liang pada 3 November lalu.