1,148 karton rokok, 24 tin minuman keras dirampas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Sebanyak 1,148 karton rokok dan 24 tin minuman keras telah berjaya dirampas semasa operasi sepadu tiga serangkai yang dijalankan oleh agensi penguat kuasa undang-undang yang diketuai oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) dengan kerjasama Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dan Unit Operasi Laut/Darat, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), semalam.

Operasi tersebut tertumpu di kawasan perairan Sungai Brunei dan kawasan-kawasan yang dipercayai terlibat kegiatan-kegiatan yang mencurigakan dan kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada JKED bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Objektif utama operasi dijalankan bukan sahaja sebagai langkah proaktif pencegahan malah ia adalah untuk mengesan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan yang berlaku di perairan negara ini.

Operasi seumpama itu akan sentiasa kerap dikendalikan dan mengingatkan kepada orang ramai bahawa pihak penguat kuasa undang-undang di negara ini tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang individu yang didapati melanggar dan tidak mematuhi peraturan di negara ini.

Penguat kuasa undang-undang memunggah keluar barangan tegahan yang berjaya dirampas, kelmarin.