Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Untuk memberikan motivasi kepada pelajar agar mereka lebih bersemangat dan berusaha lebih gigih, seramai 115 pelajar telah menerima bantuan di Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Jerudong pagi tadi.
Bantuan berkenaan adalah hasil sumbangan daripada Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian derma bantuan persekolahan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi Bin Haji Awang Mohamad.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/M-2.jpg)
Dalam ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Datin Hajah Nahriah Binti Haji Awang Hasbi dari kumpulan berkenaan menekankan agar pelajar-pelajar berusaha menjadi individu yang berguna dan mencapai kejayaan yang cemerlang, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga dan negara.
Seterusnya, pengerusi majlis juga berharap sumbangan seperti ini dapat memberi inspirasi dan dorongan kepada ahli kumpulan yang lain supaya lebih bersemangat dan bertekad untuk menganjurkan acara yang memberi manfaat seperti ini di masa akan datang dengan harapan ia boleh memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/M-4.jpg)
Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Abdul Ghani Bin Murni, Pekerja Pembangunan Masyarakat.
Majlis diteruskan dengan penyampaian bantuan persekolahan oleh tetamu kehormat majlis kepada 115 orang pelajar yang terpilih dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Semua di atas: Antara pelajar yang menerima bantuan berkenaan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/M-14.jpg)