116 kes baharu, 6 kluster tambahan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Sebanyak 116 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 13,246 orang.

Terdapat 19 tambahan kes baharu kepada tujuh kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, terdapat enam kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 61 kes, kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Kesemua kluster-kluster baharu ini adalah merupakan kluster kediaman di mana dua daripadanya iaitu Kluster Tumasek Construction Project dan Kluster Astal Engineering Staffhouse adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” tambah beliau.

Enam kluster pula telah tamat setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari, iaitu Kluster Eden Garden Contractor; Kluster 4761; Kluster 7176; Kluster 7290; Kluster 7387 dan Kluster 7591, menjadikan jumlah kluster yang aktif kepada 170 kluster.

Dalam pada itu, terdapat 36 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 213 kes disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 11,502 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,654 kes,” kongsi beliau lagi.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, enam kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, kesemua me-reka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO). “Sementara itu, 13 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambah Yang Berhormat Dato.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 2,573 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 507,527 ujian.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada sidang media hari ini. – Gambar oleh Muiz Matdani