BEIRUT, 12 Ogos – Sekurang-kurangnya 53 orang awam termasuk 28 kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara Jumaat lalu menyasar kawasan pemberontak di utara Syria.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, serangan udara dan bom tong menyasarkan wilayah Idlib dan bandar pemberontak di wilayah bersebelahan di Aleppo. Dalam angka terbaharu semalam, pemantau perang itu berkata, 41 orang awam termasuk 25 kanak-kanak, terbunuh di bandar pemberontak Orum al Kubra di Aleppo manakala 12 orang awam, tiga daripadanya kanak-kanak, terkorban di Idlib.
Lewat Jumaat lalu, SOHR memberi jumlah kematian keseluruhan sekitar 30 orang.
“Angka maut meningkat selepas penemuan mangsa baharu di bawah runtuhan dan kematian sesetengah mangsa yang cedera,” kata Ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.
Katanya, tidak jelas jika rejim Syria atau penyokongnya Rusia bertanggungjawab terhadap pengeboman di Aleppo, namun menyalahkan sekutunya kerana menyerang Idlib.
Abdel Rahman berkata, serangan udara di Idlib Jumaat lalu adalah terburuk sejak ia diisytiharkan ‘zon gencatan’ tahun lalu. Katanya, jumlah kematian di kawasan pemberontak di Aleppo adalah yang tertinggi sejak awal 2018. – AFP