DHAKA, 9 Ogos – Polis Bangladesh telah menahan sekurang-kurangnya 12 aktivis media sosial yang dituduh menyebarkan khabar angin di Facebook semasa demonstrasi pelajar minggu lepas yang menyebabkan kira-kira 1,000 orang cedera, kata pegawai tertinggi hari ini.
Dhaka dan bandar-bandar lain pada awal bulan ini telah lumpuh lebih daripada seminggu setelah menyaksikan berpuluh-puluh ribu pelajar sekolah dan kolej mengadakan demonstrasi.
Kumpulan hak asasi pula telah mengkritik tindak balas polis terhadap demonstrasi tersebut apabila polis menangkap seorang jurugambar terkenal, pelakon televisyen dan wartawan kanan.
Sementara itu, pihak berkuasa telah menyiasat kira-kira 1,000 akaun Facebook yang didakwa menghasut untuk melakukan keganasan semasa demonstrasi itu, menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Dhaka, Nazmul Islam.
“Kami telah menahan 12 orang kerana menyebarkan khabar angin. Diharapkan pada beberapa hari akan datang ini, kami dapat menangkap lebih ramai orang,” katanya.
Tambahnya, beberapa daripada mereka yang ditangkap telah mendakwa empat kanak-kanak perempuan telah dirogol dan dua orang penunjuk perasaan terbunuh pada kemuncak demonstrasi tersebut Sabtu lalu.
Undang-undang Internet Bangladesh membenarkan pengawalan media sosial dan tindak balas di Internet namun kumpulan hak menuduh pihak kerajaan menggunakan undang-undang tersebut untuk mematahkan perhimpunan damai itu.
Sebelum ini, jurugambar terkenal Bangladesh, Shahidul Alam, pelakon televisyen Kazi Naushaba dan ketua eksekutif saluran berita dalam talian adalah antara mereka yang ditangkap dan didakwa di bawah undang-undang Internet semasa pergolakan itu berlaku.
Alam ditahan pada Ahad lalu selepas ditemu bual oleh rangkaian televisyen Al-Jazeera dan mengulas mengenai demonstrasi tersebut di Facebook. Dia berkata dipukul semasa berada di dalam tahanan polis.
Islam berkata “khabar angin yang tersebar dalam talian membawa kepada kemusnahan 382 kenderaan awam, termasuk lapan kenderaan polis. Tiga daripada kenderaan polis itu di bakar.” – AFP