Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan UNISSA
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Seramai 12 orang ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi Sesi 2021/2023 menerima surat pelantikan mereka dalam majlis penyampai-an surat lantikan dan Sijil Penghargaan bagi Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni UNISSA 2018/2021 di Dewan VIP 1, Mangrove Paradise Resort pada 24 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA, di sini, majlis yang diadakan oleh Pejabat Hal Ehwal Alumni, UNISSA, itu telah dihadiri oleh Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku tetamu kehormat yang turut menyempurnakan penyampaian surat lantikan.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama UNISSA, ketua Pejabat Hal Ehwal Alumni dan ketua Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri UNISSA serta para jemputan yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan Alumni UNISSA.
Dalam majlis itu, Dr Norarfan menasihatkan barisan ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni UNISSA Sesi 2021/2023 supaya dapat menanai amanah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai medium serta platform persatuan demi pembangunan agama, negara dan UNISSA sendiri.
Beliau juga menyeru supaya setiap anggota ahli jawatankuasa eksekutif akan dapat merancang, melaksanakan dan membantu dalam pembangunan serta kemahiran persatuan dengan meningkatkan imej kewibawaan sebagai persatuan dan bersemangat membuat program-program kemahiran, keusahawanan dan khidmat masyarakat.
Kenyataan menyatakan bahawa Awang Mohd Dzulhilmi bin Haji Moharefendi, Alumni Tahun 2019 telah diberi kepercayaan dipilih sebagai yang di-pertua.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada mantan ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni UNISSA 2018/2019 dan sijil penyertaan kepada peserta yang menyertai dalam Pertandingan Mencipta Logo Rasmi Persatuan Alumni UNISSA.