Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 April – Mahkamah Majistret di sini, semalam, menetapkan 12 April untuk sebutan hukuman terhadap seorang lelaki tempatan dan anak saudaranya atas pertuduhan menipu.
Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menetapkan tarikh itu selepas Jaluddin bin Haji Tiga, 45 dan Suzinah @ Susilawati binti Hassan, 31, mengaku bersalah kerana menipu jurujual barang kemas dengan mendakwa gelang dan rantai emas itu adalah tulen.
Kedua-dua tertuduh memperolehi wang $2,450 hasil daripada menjual barang kemas palsu tersebut.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kedai emas di ibu negara pada 27 Mac, 1 dan 3 April 2017.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Emily Goh.