Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Seramai 12 belia terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi dari beberapa institusi pengajian tinggi telah berlepas ke Tokyo, Jepun, hari ini, bagi menyertai JENESYS 2019 Inbound Program Students Conference yang akan diadakan selama 10 hari bermula esok hingga 18 Februari.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan belia tersebut ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat. Turut hadir ialah Setiausaha Pertama selaku wakil Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Atsushi Aoki.
Program tersebut antara lain bertujuan untuk mempromosikan persefahaman dalam kalangan rakyat dan penduduk Jepun dan rantau Asia Pasifik serta membina asas persahabatan dan kerjasama bagi masa hadapan.
Ia juga dapat menggalakkan pemahaman mengenai ekonomi, masyarakat, sejarah, kepelbagaian budaya, politik dan hubungan diplomatik Jepun.
Para peserta akan dibahagikan kepada lima kumpulan mengikut tema yang telah disediakan oleh pihak penganjur iaitu Over Tourism and Sustainable Tourism Development, Foreign Workers, Quality Education, Food Loss dan Awareness of Disaster Mitigation.
Mereka akan berpeluang untuk membuat lawatan ke Tokyo, Kyoto, Aichi, Osaka dan Miyagi di mana kumpulan-kumpulan tersebut akan mengikuti beberapa aktiviti seperti bengkel dan mendengarkan taklimat mengenai tema yang telah ditetapkan, membuat kunjungan hormat ke Kementerian Luar Negeri Jepun, membuat lawatan ke tempat-tempat menarik seperti Asakusa/Nakamise, Istana Nijo, Kawashima Selkon Textiles Co Ltd, Muzium Edo-Tokyo, Istana Osaka, The Entrepreneurial Museum of Challenge and Innovation, Zuiganji Temple, Kyoro Horikawa High School, Istana Nagoya, Toyota Commemorative Museum of Industry and Technology, Kilang Toyota, Homi Danchi Housing Complex, Menara Tokyo dan sebagainya.





























