12 berjaya tamat program YDC Light’s On II

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Seramai 12 orang lepasan Pusat Pembangunan Belia (PPB) telah berjaya menamatkan Program YDC Light’s On II yang berakhir dengan majlis penutup yang berlangsung di Dewan Serambi, PPB, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta yang berjaya.

Program YDC Light’s On II dikendalikan oleh PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang berjalan selama dua bulan dari 1 Julai hingga 29 Ogos lalu.

Seramai 16 orang lepasan pelatih PPB yang terpilih diberi peluang untuk menyertai program berkenaan khususnya mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan, bagaimanapun hanya 12 orang yang berjaya menamatkannya.

Antara objektif program adalah untuk memberi peluang kepada para peserta untuk menyahut seruan kerajaan dalam menjadikan bidang keusahawanan sebagai mata pencarian, melatih minda peserta untuk menjadi kreatif, inovasi dan kompetitif dalam apa jua cabaran dalam mengendalikan perusahaan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta yang berjaya.
Para peserta membentangkan mengenai projek mereka kepada tetamu kehormat.
Dayang Fauziah semasa memberikan ucapan alu-aluan.

Ia juga sebagai platform kepada para peserta untuk mendapatkan bantuan yang disediakan oleh KKBS untuk memulakan perniagaan.

Kali ini, program dikendalikan oleh PPB dan diselaraskan sendiri oleh dua orang tenaga pengajar keusahawanan dengan disokong oleh Syarikat Marvens’ Hive, LiveWIRE DARe yang sama-sama berkongsi ilmu dan menjadi tenaga pengajar jemputan bagi memastikan peserta mendapat pengetahuan yang lengkap dalam bidang keusahawanan.

Antara perisian program ialah bengkel strategi perniagaan dan program meningkatkan kepimpinan diri, lawatan, kongsisama pengusaha berjaya, dialog. perbincangan dan pembentangan kertas cadangan perniagaan, peluang tempat pemasaran. Penolong Pengarah PPB, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapannya selaku pengerusi majlis berkata, program yang telah bermula pada 2019 itu dilaksanakan bersama BIBD dan ia antara usaha untuk membantu lepasan-lepasan pelatih PPB yang ingin menjadikan bidang keusahawanan sebagai satu lagi hala tuju mereka selepas mengikuti program PPB.

Menurut beliau, pada program kali ini, hanya 12 orang sahaja yang bertahan sehingga selesai program memandangkan empat orang daripadanya telah mendapat pekerjaan.

“Alhamdulillah di akhir program ini, enam buah syarikat telah didaftarkan sebagai sebuah syarikat persendirian iaitu Syarikat Petals Chocolate Corporation, Sadaqa Company, Ath Zien Corporation, KSR Enterprise, Siege Pollyfox Enterprise dan IbnuSulaiman Enterprise,” ujar Dayang Fauziah.

Beliau berkata, setiap syarikat berkenaan telah memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka yang dibentangkan dalam sesi pitching untuk dinilai oleh juri-juri dari industri.

Pelbagai jenis perniagaan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkenaan iaitu penghasilan makanan, minuman, perkhidmatan bengkel baik pulih kenderaan serta jahitan dan sulaman.

Selepas penyampaian sijil kepada para peserta, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyaksikan pembentangan kertas perniagaan serta pameran produk dan perkhidmatan daripada para peserta.