12 Buah keluarga mangsa kebakaran terima sumbangan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Sumbangan berjumlah $181,567.26 daripada orang ramai menerusi Tabung Amal Mangsa Kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama telah diserahkan kepada 12 pemilik rumah yang ranap dan mengalami kerosakan akibat kebakaran itu, pada majlis yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Hadir menyerahkan sumbangan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku penasihat bersama tabung berkenaan.

Sumbangan tersebut telah dihulurkan oleh orang ramai melalui jabatan-jabatan daerah, tabung khas di masjid-masjid seluruh negara dengan kerjasama dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan sumbangan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Pada majlis itu, Datastream Technology Group dan Progresif Sdn Bhd telah menyerahkan sumbangan yang diterima melalui SMS kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohammed Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan selaku pengerusi bersama tabung amal berkenaan.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan itu ialah timbalan setiausaha tetap (kemasyarakatan) di KKBS, pegawai-pegawai kanan dari KHEDN dan KKBS, jemputan khas dan kakitangan dari KHEDN, KKBS dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Pengiran Bendahara Lama.