12 Derma plasma darah untuk kajian

PUTRAJAYA, 12 APRIL – Sebanyak 12 pesakit yang sudah pulih daripada jangkitan COVID-19 tampil untuk menderma plasma darah masing-masing setakat ini bagi digunakan dalam kajian rawatan pesakit COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebelum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil darah mereka, bekas pesakit COVID-19 itu diberi kaunseling dan perlu  menjalani  ujian-ujian  jangkitan kuman.

“Setelah diberi kaunseling KKM akan rujuk mereka kepada Pusat Darah Negara untuk diambil darah bagi melaksanakan kajian rawatan COVID-19  menggunakan plasma darah,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di KKM di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan rawatan COVID-19 menggunakan plasma darah pesakit yang sudah pulih daripada jangkitan.

Kata beliau, kajian mengenai rawatan itu masih di peringkat awal dan KKM perlu melihat terlebih dahulu keberkesanan rawatan berkenaan.

“Mungkin kajian akan memakan masa sebelum KKM dapat satu bukti kukuh untuk digunakan.

Apa yang KKM gunakan adalah plasma dengan melihat kandungan antibodi dan sebagainya,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kajian ‘rapid test kit’ oleh KKM, Dr Noor Hisham berkata setakat ini kajian ‘rapid test kit’ yang dilaksanakan KKM masih belum menemui kit ujian  yang tepat dan boleh diharap.

“Hari ini dan esok ada kit ujian (diterima) dari Korea Selatan. Harap keputusan akan beri ketepatan yang tinggi untuk KKM guna pakai.

“Untuk kit ujian apa yang penting adalah ujian COVID-19 boleh dilaksana dalam tempoh yang singkat. Jadi tempoh proses ujian adalah pendek. Mungkin satu jam mungkin setengah jam,” katanya lagi. – Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Bernama