Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Sebanyak 12 kompaun masing-masing berjumlah $500 dan 57 notis amaran telah dikeluarkan atas kesalahan menjual melebihi harga maksimum barangan yang disenaraikan di bawah Penetapan Harga Maksimum Bermusim (PHMB) 2022, dalam tempoh dua bulan iaitu pada bulan Ramadan dan Syawal lalu.
Kompaun-kompaun dan notis berkenaan dikeluarkan oleh Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang menyatakan bahawa premis-premis yang dikeluarkan kompaun adalah Almaas Sdn Bhd, Hama Department Store, Haula Trading Minimart, Hari-hari Maju Enterprise, Hong Bee Trading Company, Roshney Alif Sdn Bhd, Seri Yasra Enterprise Sdn Bhd, Sifana Sdn Bhd, Syarikat Affinna dan Anak-anak, Syarikat Salha Aryssa, Quthairah Enterprise dan Ya Nur Trading Company Sdn Bhd.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPES, barangan makanan yang ditetapkan harga maksimum adalah ayam bulat, telur ayam, isi daging biasa, mentega, marjerin, minyak sapi, tepung dan susu pekat, cair dan krim.
PHMB dilaksanakan secara sementara bertujuan untuk membantu rakyat dalam menampung perbelanjaan harian semasa musim perayaan.
JPES menyeru para peniaga untuk terus mengamalkan etika perniagaan yang telus dengan tidak mengelirukan pengguna, menawarkan harga yang berpatutan dan kompetitif untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang sihat bagi mendatangkan manfaat kepada peniaga, pengguna dan pembangunan ekonomi.
Selain itu, pihak JPES turut menyarankan para pengguna supaya menggunakan hak mereka sebagai pengguna bagi melaporkan apa jua amalan peniaga yang menggelirukan, tidak beretika dan tidak wajar dalam kalangan peniaga.
JPES juga menggalakkan para pengguna untuk menggunakan maklumat di aplikasi PenggunaBijak bagi membuat perbandingan harga sebelum membuat keputusan untuk berbelanja.
