12 entiti disenaraikan Alert List AMBD

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa sebanyak 12 entiti telah dimasukkan ke dalam Alert List AMBD bagi Februari 2020.

Entiti-entiti yang telah dimasukkan ke dalam senarai berkenaan ialah AMillennium Holdings Sdn Bhd/Joint Venture (AMillennium Hotels)/Joint Venture (Automotive Solutions), Andy Ong (Facebook Profile), Astro Maybank (Facebook Profile), Bluebirdbn.Home (IG Profile), Brunei Crypto, Crypto Mania Club (CMC) Brunei, LiteFinance Brunei, Lynn Dyana (Facebook Profile), Nurul Nooralifah (7146977), T.A.G Marketing / Triple A Group Marketing / International Consumer Entrepreneurship (I.C.E) / T.A.G Mart, Zuan Zymah (Facebook Profile) dan 8124773.

Kenyataan menjelaskan lanjut bahawa Alert List AMBD ialah senarai individu, syarikat dan laman web yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kawalan AMBD, atau mana-mana aktiviti yang menimbulkan kecurigaan akan berlaku aktiviti yang menyalahi undang-undang. Senarai ini adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh AMBD mengenai aktiviti-aktiviti syarikat berkenaan.

Kenyataan menyatakan bahawa Alert List AMBD yang telah dikemaskinikan boleh didapati melalui laman web AMBD di www.ambd.gov.bn. Senarai syarikat-syarikat dan individu-individu yang dilesenkan oleh AMBD juga boleh didapati di laman web yang sama.

Pada masa yang sama, AMBD ingin menasihati orang ramai supaya tidak berurusan dengan mana-mana entiti atau individu yang menjalankan aktiviti-akti-viti kewangan seperti penukaran wang, pengiriman wang dan pinjaman wang tanpa lesen atau apa jua aktiviti-aktiviti kewangan yang menimbulkan kecurigaan yang boleh menyalahi undang-undang di bawah pengawalseliaan AMBD.

Jika berurusan dengan entiti atau syarikat atau individu yang tidak dikawal selia oleh AMBD, orang ramai tidak akan dilindungi di bawah rangka kerja penyeliaan yang ditadbir oleh AMBD.
AMBD akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan pelindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam. AMBD juga akan terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di Negara Brunei Darussalam. Jika orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti yang tidak berlesen, sila hubungi AMBD melalui talian 2380007 atau e-mel melalui [email protected]