12 kelab sertai Liga Super Eropah dikecam

PARIS, 19 APRIL – Sebanyak 12 buah kelab bola sepak terkemuka menghadapi tuduhan tamak dan sinis hari ini ketika mereka mengumumkan untuk menubuhkan Liga Super Eropah (ESL) yang boleh memberi implikasi yang sangat besar untuk sukan itu.

Enam buah pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Liverpool, Manchester United, Arsenal, Chelsea, Manchester City dan Tottenham terlibat, bersama dengan Real Madrid, Barcelona, ​​Atletico Madrid, Juventus, Inter Milan dan AC Milan.

Kelab-kelab tersebut, kebanyakannya dibebani hutang dan gaji yang besar serta terkesan dengan pandemik, akan mendapat keuntungan daripada segi kewangan, dengan ramalan bahawa mereka akan berkongsi berbilion euro.

Tetapi reaksi awal dari pihak berkuasa bola sepak, peminat dan pakar sangat berang, dengan ancaman untuk melarang kelab yang mengambil bahagian akan disingkirkan dari pertandingan domestik, Eropah dan dunia.

“Anggota dan penyokong bola sepak kita di seluruh dunia telah mengalami pengkhianatan,” kata Chelsea Supporters Turst.

“Ini tidak dapat dimaafkan. Cukup sudah,” tambahnya.

ESL mengatakan kelab pengasas telah bersetuju untuk membuat ‘pertandingan pertengahan minggu baharu’ untuk memulakannya ‘secepat mungkin’ tetapi mereka akan terus bermain di liga domestik mereka.

Tiga lagi kelab akan diumumkan, kata kenyataan itu, dengan 15 ahli pengasas dijamin akan bermain setiap tahun. Lima tempat lagi akan tersedia berdasarkan pencapaian pada musim sebelumnya.

Kelab-kelab pengasas akan berkongsi 3.5 bilion euro untuk pelaburan infrastruktur dan mengimbangi kos pandemik serta diharapkan akan menerima 10 bilion euro lagi dalam ‘pembayaran solidariti’ sepanjang komitmen awal, lebih tinggi daripada yang ada di Liga Juara-Juara . – AFP

Grafik di atas menunjukkan di antara pasukan yang telah mendaftar untuk menyertai Liga Super Eropah baharu yang mencetuskan kontroversi. – AFP