12 maut nahas pesawat tentera Myanmar

YANGON, 12 JUN – Seramai 12 orang maut apabila pesawat tentera membawa seorang sami terkemuka dan beberapa orang penderma ke acara keagamaan, terhempas di kawasan tengah negara itu, menurut jurucakap junta hari ini.

Pesawat yang membawa enam kru dan lapan penum-pang, terhempas sejurus dijadualkan mendarat di bandar Pyin Oo Lwin, jurucakap tentera, Zaw Min Tun menjelaskan dalam satu kenyataan, menekankan cuaca buruk punca nahas.

Futej disiarkan oleh media tempatan menunjukkan bangkai pesawat yang bengkok di kawasan terbuka di atas pilon dan asap kelihatan berkepul darinya. AFP bagaimanapun tidak dapat mengesahkan futej itu.

Anggota bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang budak lelaki dan seorang kru berpangkat sarjan, menurut kenyataan itu, menambah bahawa mereka sudah dihantar ke hospital tentera berhampiran untuk rawatan.

Kejadian berlaku ketika seorang sami terkemuka, Kavisara dari Biara Zay Kone berhampiran ibu negara Naypyidaw dan tujuh penderma menuju ke Pyin Oo Lwin untuk merasmikan sebuah upacara keagamaan, kata jurucakap.

Pyin Oo Lwin merupakan tempat Akademi Perkhidmatan Pertahanan di mana tentera tertinggi negara dilatih. Pemimpin junta, Min Aung Hlaing merupakan graduan pusat itu.

Dia mengunjungi biara dan memberikan penghormatan kepada ketua sami pada 2 Februari lalu, menurut laporan media negara, sehari selepas menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dari kuasa dalam satu rampasan kuasa.

Semenjak rampasan kuasa itu, Myanmar terpalit dalam kucar-kacir, dengan bantahan besar-besaran setiap hari sekali gus melemahkan ekonominya. – AFP

Gambar serahan Kementerian Penerangan Myanmar menunjukkan tentera dan penduduk tempatan berdiri berhampiran bangkai pesawat Air Force Beechcraft 1900 yang terhempas di Pyin Oo Lwin, Mandalay, 10 Jun. Dua belas daripada 14 penumpang maut dalam nahas itu. – AP