12 maut, puluhan cedera dalam letupan bom kereta

HERAT, AFGHANISTAN, 18 OKT – Kira-kira 12 orang awam maut manakala lebih 100 cedera dalam letupan bom kereta di wilayah Ghor, barat Afghanistan, yang disasarkan ke atas ibu pejabat polis.

Serangan itu berlaku di Feroz Koh, ibu negeri wilayah Ghor, iaitu lokasi yang jarang dicemari insiden keganasan, berbanding kawasan lain di negara bergolak itu.

Menurut kementerian dalam negeri, bom terbabit diletupkan di hadapan ibu pejabat polis Ghor, kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan).

“Pengganas meledakkan sebuah kereta dipenuhi bahan peletup dan akibatnya, 12 orang maut manakala lebih 100 cedera,” kata kementerian itu.

Pegawai kesihatan Ghor, Juma Gul Yakoobi memberitahu, mangsa turut terdiri daripada anggota pasukan keselamatan.

Tiada pihak tampil bertanggungjawab setakat ini, namun pertempuran antara Taliban dan kerajaan semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu.

“Letupan itu amat kuat, terdapat kematian dan kecederaan, dengan mangsa dibawa ke hospital,” kata jurucakap gabenor Ghor, Aref Abir. – AFP