12 maut serangan udara Damsyik di Idlib

BEIRUT, 22 Mei – Serangan udara oleh Damsyik atau sekutu Moscow membunuh 12 orang awam di sebuah pasar di wilayah Syria Idlib, kata kumpulan pengawas hari ini, tatkala pertempuran sengit meletus di rantau barat laut yang dikawal oleh pejuang jihad.

Lapan belas orang lagi cedera apabila kapal terbang penggempur menyerang bandar Maarat al-Numan pada tengah malam semalam, kata Balai Cerap Syria untuk Hak Asasi Manusia di Britain.

Pasar itu dipenuhi orang selepas berbuka puasa pada bulan suci Ramadan.

Serangan berlaku tatkala pertempuran sengit meletus di utara wilayah Hama selepas pejuang jihad melancarkan serangan balas semalam ke atas tentera prokerajaan di Kafr Nabuda.

Pertempuran baharu semalam membawa angka kematian kepada 52 orang, 29 tentera dan militia dan 23 pejuang jihad, kata Balai Cerap. Ia berkata pejuang jihad telah merampas semula kebanyakan bandar daripada tentera kerajaan yang menawannya pada 8 Mei.

Rantau Idlib yang dikuasai oleh pejuang jihad adalah dilindungi oleh perjanjian zon penampan, namun rejim dan sekutu Rusia telah menambah pengeboman mereka dalam beberapa minggu ini, merampas beberapa bandar di kawasan selatannya.

Satu gabungan pejuang jihad yang dipimpin oleh bekas sekutu Al-Qaeda di Syria, Hayat Tahrir al-Sham, mengawal sebahagian besar wilayah Idlib serta kawasan Aleppo, Hama dan Latakia.

Rusia dan sekutu pemberontak Turki memeterai perjanjian zon penampan pada September untuk mengelak serangan kerajaan ke atas rantau yang diancam oleh krisis kemanusiaan untuk tiga juta penduduknya. – AFP

Gambar menunjukkan orang berkumpul di tapak serangan udara ke atas sebuah pasar di bandar Maarat al-Numan pada 21 Mei 2019. Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 18 cedera dalam serangan semalaman ke atas bandar Idlib, Maarat al-Numan, kata Balai Cerap Syria untuk Hak Asasi Manusia. – AFP