12 maut susulan serangan Taliban

GHAZNI, Afghanistan, 21 Jan – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh hari ini dalam serangan yang dituntut oleh Taliban ke atas sebuah kompaun ketenteraan di pusat Afghanistan, kata para pegawai, ketika pemberontak terus meningkatkan serangan ke atas tentera keselamatan.

Serangan itu bermula selepas sebuah kenderaan yang penuh dengan bahan letupan merempuh pintu masuk sebuah kompaun di Maidan Shahr, ibu kota wilayah Wardak yang terletak kira-kira 50 kilometer dari selatan Kabul.

Sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata menyerbu pangkalan itu berikutan letupan tersebut, memulakan pertembungan dengan pasukan keselamatan Afghanistan.

Ketiga-tiga lelaki bersenjata itu kemudian dibunuh dalam serangan itu, menurut seorang pegawai wilayah.

“Setakat ini laporan kami mendapati bahawa 12 orang terbunuh dan 20 yang lain cedera, kebanyakan mereka adalah pasukan keselamatan Afghanistan,” kata Akhtar Mohammad Taheri, ketua majlis wilayah Wardak, kepada AFP.

“Taliban menggunakan kenderaan Humvee untuk merempuh pagar kompaun itu,” tambah Taheri.

Pengarah Kesihatan Provinsi Mohammad Salim Asgharkhail mengesahkan jumlah kematian tersebut.

“Beberapa orang yang cedera dibawa ke hospital di Kabul untuk rawatan lanjut kerana mereka berada dalam keadaan kritikal,” kata Asgharkhail.

Jurucakap Gabenor Daerah Abdul Rahman Mangal berkata letupan besar juga sebahagiannya merosakkan pangkalan itu. – AFP