12 menara selular diserang

YANGON, 8 SEPT – Penunjuk perasaan telah memusnahkan kira-kira 12 menara telekomunikasi milik tentera di Myanmar, menurut saksi dan laporan hari ini, selepas pihak yang mendakwa ‘kerajaan bayangan’ Myanmar mengeluarkan gesaan untuk ‘perang pertahanan’ terhadap junta.

Negara itu dalam keadaan huru-hara sejak tentera merampas kuasa pada Februari lalu, mencetuskan demonstrasi prodemokrasi secara besar-besaran dan pertempuran baharu antara tentera dengan pemberontak etnik di kawasan sempadan.

Lebih 1,000 orang awam terbunuh dan hampir 8,000 ditangkap setakat ini, menurut pemerhati tempatan.

Penunjuk perasaan menyatakan mereka telah menyasarkan 11 tiang menara telefon bimbit Mytel milik tentera, salah satu dari empat rangkaian selular utama negara itu, di bandar Budalin, rantau tengah Sagaing.

“Tujuan kami adalah untuk memusnahkan perniagaan (milik) tentera. Perniagaan itu menyokong (mereka) untuk mempertahankan kekuasaan mereka.

“Oleh itu, kami harus menghancurkannya,” kata seorang penduduk yang terbabit dalam operasi itu kepada AFP.

Rakaman video dari media tempatan menunjukkan letupan di dasar satu menara diikuti oleh struktur yang jatuh menarik tepukan penonton. – AFP

Sebahagian menara komunikasi yang dimusnahkan oleh para penunjuk perasaan di Sagaing. – AFP