Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Seramai 12 orang belia yang terdiri daripada pelajar/mahasiswa dan mahasiswi dari beberapa buah institusi pengajian tinggi negara ini telah berlepas ke Tokyo, Jepun bagi Persidangan Pelajar Jepun-ASEAN JENESYS 2017 sempena memperingati ulang tahun ASEAN ke-50 yang akan berlangsung selama lapan hari bermula esok hingga 26 September 2017.
Hadir di lapangan terbang bagi mengucapkan selama belayar kepada rombongan berkenaan yang diketuai oleh Dayang Nurul Huda binti Muhd Iskandar ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, Setiausaha Ketiga Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Hiroki Akasaka dan Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat.
Program tersebut antara lain bertujuan untuk mempromosikan persefahaman dalam kalangan rakyat dan penduduk Jepun dan rantau Asia Pasifik serta membina asas persahabatan dan kerjasama untuk masa hadapan. Di samping itu ia diharap dapat menggalakkan pemahaman mengenai kepentingan sosial, ekonomi, budaya ASEAN dan Jepun serta membincangkan unsur-unsur keamanan dan kemakmuran dari sudut pandangan sejarah dan pengajaran yang dapat dipelajari daripadanya. Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut tema yang telah disediakan oleh pihak penganjur iaitu ‘Bencana Alam Semula Jadi’, ‘Pembangunan Ekonomi, Masalah-masalah Alam Sekitar’ dan ‘Aktiviti-aktiviti Sosial dalam Masyarakat’.

Para peserta negara dan dari negara-negara lainnya juga akan berpeluang untuk membuat lawatan ke Wilayah Iwate, Wilayah Miyagi, Wilayah Fukuoka dan Wilayah Kumamoto di mana kumpulan tersebut berpeluang untuk mengikuti beberapa aktiviti seperti mendengarkan taklimat mengenai kebudayaan dan kesenian Jepun termasuk tema yang telah ditetapkan, membuat lawatan ke tempat seperti Kujib Underground Aquarium ‘Mogranpia’, Yokomuna Fishing Port, Miyagi Fukkou Park, Kitakyushu Environment Museum, Kumamoto City International Centre dan sebagainya.
Dayang Nurul Huda dalam temu bual ringkas menyatakan harapan supaya akan dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan rakan-rakan di Negara Brunei Darussalam apabila pulang nanti.