Sunday, October 6, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 pendaki tawan puncak Rante Mario, Gunung Latimojong

    MAKASSAR, Sulawesi Selatan, 6 Okt – Selepas menempuh pendakian selama 32 jam, 12 pendaki Kembara Terengganu De Latimojong berjaya menakluki puncak Rante Mario, Gunung Latimojong setinggi 3,479 meter tepat pukul 12 tengah hari, 4 Oktober.

    Pendakian selama dua hari satu malam itu telah disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, pengamal media Terengganu iaitu Bernama, KOSMO!, Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, RTM, Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Astro Awani, Pejabat Menteri Besar dan Kelab Eksplorasi Terengganu.

    Ketua Koordinator, Mohd Rafi Kori, 38, berkata cabaran pendakian bermula dari pos satu di Desa Karangan pada 9 pagi 3 Oktober yang mana pendaki diuji dengan laluan sempit serta memerlukan kekuatan tangan dan kaki untuk menyusur di tepi-tepi lereng bukit.

    “Ada satu masa pendaki terpaksa menahan cuaca pergunungan tidak menentu yang disertai hujan lebat, suhu dingin mencecah empat darjah Celsius dan angin kencang sepanjang pendakian untuk menawan puncak kelima tertinggi di Indonesia,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

    Bagaimanapun, bermula dari pos lima pada ketinggian 2,500 meter sehingga ke puncak, pendaki dapat menikmati pemandangan indah hutan lumut dan perkampungan Karangan yang saujana mata memandang.

    “Alhamdulillah, kesemua pendaki selamat tiba di puncak pukul 12 tengah hari 4 Oktober dan pendaki melakukan gimik kejayaan pendakian menggunakan pakaian tradisional berkain batik dan memakai terendak sebagai identiti warisan Melayu Nusantara.

    “Lebih manis, pendaki Indonesia turut teruja dan bersama-sama merakam detik kenangan dengan mengibarkan bendera Malaysia dan Indonesia bagi menandakan hubungan akrab dan integrasi kedua-dua negara,” katanya.– Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda