Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    12 pendatang mati beku di sempadan Greece, Turki

    ANKARA, TURKI, 2 FEB – Seramai 12 pendatang mati beku ditemui berhampiran sempadan Turki dengan Greece, kata menteri dalam negeri Turki hari ini, menuduh pengawal sempadan Greece mengusir mereka kembali ke sempadan.

    Menteri dalam negeri, Suleyman Soylu dalam laman Twitternya berkata, 12 daripada mereka adalah antara 22 pendatang yang diusir pulang ke Turki oleh pengawal sempadan Greece. Dia berkata, mereka ditemui berhampiran sempadan Ipsala yang melintasi antara Turki dan Greece “tanpa kasut dan dilucutkan pakaian mereka.”

    Menteri itu tidak memberikan butiran lanjut, tetapi berkongsi gambar kabur yang menunjukkan lapan mayat ditemui, termasuk tiga orang yang berseluar pendek dan berbaju.

    Soylu menuduh unit penguasa sempadan Greece sebagai “samseng” terhadap pendatang namun bersimpati terhadap ahli sebuah kumpulan, yang menurut Turki mendalangi rampasan kuasa tentera yang gagal pada 2016 dan telah melarikan diri ke Greece.

    Dia juga menuduh Kesatuan Eropah (EU) sebagai “tidak berdaya, lemah dan tidak berperikemanusian.”

    Pejabat gabenor wilayah Edirne, berhampiran sempadan darat dengan Greece, berkata pendatang yang mati termasuklah seorang yang meninggal dunia di hospital selepas diselamatkan oleh pihak berkuasa Turki.

    Turki sering menuduh negara jiran, Greece mengusir pendatang haram yang mahu masuk ke Eropah. Greece menafikan tuduhan bahawa mereka melakukan apa yang dipanggil pengusiran yang menghalang pendatang daripada memohon perlindungan antarabangsa.

    Turki, yang menempatkan sekitar 3.7 juta pelarian Syria, merupakan titik persimpangan utama bagi pendatang dari Timur Tengah, Asia dan Afrika yang mencari kehidupan yang lebih baik di negara-negara EU. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...