12 premis ingkar arahan didenda

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Sebanyak 12 buah premis perniagaan telah dikenakan denda berjumlah $2,000 keseluruhannya setelah didapati tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan semasa Operasi Merati yang dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dari 17 hingga 23 Ogos lalu di premis-premis perniagaan di keempat-empat daerah.

Antara kesalahan-kesalahan yang dikenakan denda ialah tidak memakai penutup mulut dan hidung bagi pengendali dan penyedia makanan, tukang gunting rambut serta salon kecantikan, tidak menyediakan pensanitasi tangan, tiada pemeriksaan suhu badan serta menyediakan hidangan secara bufet yang tidak mengikut garis panduan yang dikeluarkan.

Operasi berkenaan melibatkan pegawai-pegawai penguat kuasa kesihatan dari Unit Penguatkuasaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan di mana sebanyak 38 buah premis perniagaan telah diperiksa iaitu sebanyak 31 buah premis makanan, sebuah kafe Internet, dua buah kedai gunting dan empat buah kedai kecantikan dan kesihatan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Kenyataan menyatakan bahawa operasi berkenaan dijalankan di premis makanan, kafe Internet, kedai kecantikan dan kesihatan serta kedai gunting di kawasan-kawasan perniagaan di Daerah Brunei dan Muara iaitu Kiulap, Bangunan Kambang Pasang, Batu Bersurat, Mabohai dan Riverside; Daerah Belait iaitu Mukim Sungai Liang dan Pekan Kuala Belait; Daerah Tutong iaitu Bangunan Haji Yussof serta Daerah Temburong iaitu Kampung Batang Tuau, Kampung Puni dan Pekan Bangar.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa Unit Penguatkuasaan Kesihatan telah memberikan nasihat kepada pelanggan-pelanggan premis untuk menggunakan aplikasi BruHealth semasa mengunjungi premis dan memberikan teguran kepada pelanggan-pelanggan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial seperti penjarakan fizikal semasa berada dalam premis perniagaan.

Kementerian Kesihatan sekali lagi menekankan dan mengingatkan orang ramai, terutama sekali bagi para pengurus dan kakitangan premis-premis perniagaan untuk mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan lainnya serta terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 di premis perniagaan masing-masing.

Pengurus premis juga disarankan untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis-premis tersebut dan mencetak kod QR dan dilekatkan di kawasan yang mudah diimbas oleh pelanggan serta menggunakan aplikasi PremiseScan bagi memudahkan pelanggan-pelanggan yang tidak mempunyai aplikasi BruHealth di dalam telefon bimbit mereka, di samping mengamalkan langkah-langkah kebersihan dalam premis perniagaan.

Kementerian Kesihatan juga mengingatkan pengurus-pengurus premis perniagaan terutama sekali premis makanan untuk mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan jika menyediakan makanan secara bufet.

Orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau mengunjungi laman sosial di Facebook dan Instagram untuk mendapatkan maklumat terkini.

Bagi sebarang aduan atau laporan mengenai premis-premis perniagaan tidak mengikuti arahan-arahan yang dikeluarkan, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghubungi Talian Darussalam 123.