12 tahun bersama, akhirnya berkahwin

Setelah 12 tahun menjalinkan hubungan cinta, pelakon Dwayne Douglas Johnson mengesahkan dia sudah berkahwin dengan Lauren Hashian baru-baru ini.

Menurut laporan CBS News, Dwayne atau lebih dikenali sebagai The Rock dan isterinya mengumumkan mengenai perkara itu menerusi laman Instagram.

“We do. August 18th, 2019. Hawaii. Pōmaika’i (blessed),” tulisnya baru-baru ini.

Menerusi foto yang dimuat naik, The Rock mengenakan baju kemeja dan seluar putih sementara isterinya menggenggam sejambak bunga sambil menggayakan gaun pengantin.

Gambar tersebut dirakam di sebuah pantai peranginan di Amerika Syarikat.

Sebelum ini, People melaporkan pasangan ini bertemu pertama kali pada tahun 2006 ketika Dwayne menjalani penggambaran filem The Game Plan.

Mereka mula serius menjalinkan hubungan cinta pada tahun 2007 dan dikurniakan dua orang anak.

Ini merupakan perkahwinan kedua The Rock. Bulan lalu, heboh khabar angin mengatakan pasangan ini sudah berumah tangga namun The Rock menafikan berita itu dan memberitahu enggan terburu-buru dalam hal tersebut. – Agensi

Dwayne Johnson akhirnya berkahwin dengan Lauren Hashian. – Agensi