Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 tamat bengkel kaedah penyelidikan sejarah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Seramai 12 orang pensyarah dan pembantu penyelidik dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menghadiri bengkel kaedah penyelidikan sejarah ‘Ensiklopedia Negara Zikir Jilid 5: Sumbangan Ulama dalam Penyebaran dan Perkembangan Negara Zikir’ berlangsung di Pusat Sejarah Brunei (PSB) di ibu negara, hari ini.

    Bengkel anjuran PSB ini adalah sebagai persediaan awal untuk projek penyelidikan bagi terbitan buku berkenaan dan kesinambungan perjanjian persefahaman (MoU) yang telah dimeterai bersama PSB dengan UNISSA pada September lalu.

    Turut serta dalam bengkel itu ialah Penolong Rektor Akademik UNISSA, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad.

    Dalam projek tersebut, PSB dan UNISSA akan bekerjasama dalam menjalankan penyelidikan temu bual biodata dan riwayat hidup tokoh tersohor tempatan dan luar negara terutama dalam bidang keagamaan yang pernah menyumbang dan mencurahkan jasa bakti dalam kemajuan dan perkembangan ajaran agama Islam di negara ini.

    Penyelidikan dijangka dimulakan pada November nanti bermatlamat untuk memperkenalkan dan mempraktikkan kaedah penyelidikan sejarah yang diguna pakai oleh Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi dalam melaksanakan kerja penyelidikan bagi mendapatkan sumber sejarah yang mempunyai nilai kepentingan tinggi dan berkualiti.

    Selain itu, ia juga untuk mendapatkan ketepatan fakta, bahan dan sumber maklumat yang diperlukan dan menjadikan penyelidikan lebih teratur dan bersistematik.

    Melalui bengkel ini juga, ia diharap dapat dijadikan sebagai panduan dalam melaksanakan penyelidikan untuk mendapatkan bahan dan sumber maklumat yang tepat, berkualiti dan mempunyai nilai kepentingan sejarah tinggi untuk pengisian bahan terbitan buku berkenaan.

    Antara peserta yang menyertai bengkel yang diadakan di Pusat Sejarah Brunei.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda