Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    12 terbunuh, 65 hilang dalam tanah runtuh di Nepal

    KATHMANDU, 12 JULAI – Seramai 12 orang terbunuh manakala 65 lagi hilang dalam kejadian tanah runtuh berasingan di Nepal, semalam dan pagi tadi, lapor Xinhua yang memetik kenyataan polis tempatan.

    Jurucakap polis daerah Kaski, Basant Kumar Sharma berkata tujuh dipercayai sekeluarga dan tiga yang lain maut dalam tanah runtuh di Pokhara semalam manakala seorang lagi mangsa terkorban di perbandaran Madi di daerah itu. “Kami telah menemukan 11 mayat di tiga tempat di daerah itu,” kata Sharma kepada Xinhua.

    Sementara itu, 65 penumpang hilang selepas dua bas dihanyutkan ke sungai oleh tanah runtuh di daerah Chitwan di lebuh raya Mugling-Narayanghat yang menghubungkan Kathmandu dengan seluruh negara.

    Sebuah bas dengan 24 penumpang dalam perjalanan ke Kathmandu dari Birgunj manakala sebuah lagi membawa 41 penumpang menuju ke Gaur di daerah Rautahat dari Kathmandu.

    “Kedua-dua bas disyaki terjatuh di Sungai Trishuli. Pasukan penyelamat yang termasuk penyelam telah dikerah untuk mengesan mereka,” kata Bhesh Raj Rijal, jurucakap polis daerah, kepada Xinhua.

    Dalam kejadian lain, seorang pemandu bas terbunuh selepas ditimpa batu di Chitwan di laluan lebuh raya yang sama.

    Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Daha telah mengarahkan pasukan keselamatan menyegerakan usaha menyelamat mangsa. – Bernama

    Pasukan penyelamat ketika berusaha mencari mangsa yang terselamat kira-kira 120 kilometer di barat ibu negara, Kathmandu, Nepal, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda