Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Dua daripada 12 pemenang bertuah berjaya membawa pulang kereta Toyota Wigo ketika Sesi Cabutan Bertuah anjuran Digital World Enterprise dan NBT Brunei yang berlangsung di Regal Blue, Kampung Sungai Hanching, dan secara maya hari ini.
Hadir membuat cabutan berkenaan ialah Pengarah Urusan Interhouse, Steven Goh dan brand partners jenama Canon di Digital World Enterprise. Turut hadir selaku saksi ialah wakil dari Yusof Halim and Partners, Dayang Nabilah binti Zainal Abidin.
Pengumuman melalui aplikasi Instagram itu telah menyaksikan pemenang utama pertama kereta Toyota Wigo dimenangi oleh Wong Shia Yen dan Awang Kamal Hassan bin Haji Metuddin juga membawa pulang kereta Toyota Wigo selaku pemenang utama kedua.
Manakala 10 lagi pemenang telah diumumkan memenangi hadiah sagu hati sumbangan Digital World Enterprise. Lima daripada pemenang sagu hati membawa pulang Samsung M02 dan lima lagi menerima Samsung A02.
Kempen Cabutan Bertuah Digital World dengan kerjasama NBT Brunei yang berjalan dari 25 Julai 2021 hingga 11 Februari 2022 telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan baharu dan tetap Digital World.
Kempen berkenaan dibukakan kepada pelanggan yang berbelanja di Digital World Enterprise.
Sepanjang musim promosi, Digital World memberi penghargaan kepada pelanggan setianya dengan hadiah menarik yang terdiri daripada alat terkini, peralatan rumah dan dapur, elektronik dan banyak lagi.
Terdapat 12 hadiah untuk dimenangi sepanjang tempoh kempen berkenaan yang bermula sejak bulan Julai 2021, di mana pelanggan yang membeli produk Digital World dalam jumlah minimum dalam satu resit layak untuk turut serta.
Sementara itu, sebagai langkah dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, serta mengelakkan daripada perkumpulan ramai bagi membendung penularan wabak COVID-19, para pemenang bertuah akan dihubungi kemudian oleh pihak pengurusan bagi sesi penyampaian hadiah-hadiah berkenaan.
Sempena cabutan bertuah hari ini, Digital World Enterprise secara rasmi melancarkan kempen cabutan bertuah seterusnya yang bermula pada hari ini hingga akhir April 2022 dengan menawarkan hadiah utama sebuah kereta Toyota Wigo dan pengumumannya akan dijangka pada bulan Mei nanti.
Terma dan syarat untuk kempen seterusnya adalah sama iaitu mana-mana pelanggan yang membeli produk Digital World dalam jumlah minimum dalam satu resit layak untuk turut serta.