Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    120 bakal graduan UNISSA diraikan

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

    Gambar oleh Rahwani Zahari

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Bersempena dengan Hafl Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke-7, seramai 120 orang bakal graduan UNISSA telah diraikan pada majlis khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran yang diadakan di Dewan Auditorium UNISSA.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya memimpin bacaan Surah Al-Fatihah ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi Bin Haji Osman.

    Majlis diteruskan lagi dengan bacaan surah-surah dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas oleh para peserta.

    Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan bacaan Takhtim oleh para mahasiswa dan diakhiri dengan bacaan Doa Khatam oleh salah seorang bakal graduan Program Sarjana Muda Usuluddin (Tafsir dan Hadith), Awang Muhammad Hashim bin Haji Abdullah.

    Majlis turut menyaksikan tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian sijil khatam Al-Quran kepada para bakal graduan yang diiringi dengan persembahan Dikir Marhaban.

    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa hadir di majlis itu.
    Bakal-bakal graduan UNISSA yang menyertai majlis khatam tersebut.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena para bakal graduan menamatkan pengajian di UNISSA yang dibacakan oleh bakal graduan Sarjana Muda Sains Kewangan Islam, Awang Al-Hadi bin Zainal Abidin,

    Turut hadir di majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, timbalan setiausaha tetap Kementerian Pendidikan dan pengarah-pengarah Kementerian Pendidikan.

    Majlis tersebut merupakan salah satu acara tradisi tahunan yang diungkayahkan bagi menyemarakkan Sambutan Hafl Al-Takharruj UNISSA.

    Ia bertujuan untuk menanamkan dan menyuburkan budaya pembacaan Al-Quran dalam kalangan para mahasiswa/mahasiswi sama ada secara berseorangan atau berkumpulan.

    Aktiviti seumpama ini juga akan melahirkan semangat mencintai Al-Quran melalui penghayatan serta mengamalkan ajaran-ajarannya sebagai amalan harian khususnya sebagai cermin selaku warga UNISSA.

    Ia juga bagi menzahirkan rasa kesyukuran setelah mengikut pengajian di UNISSA di samping menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir serta mengamalkan penghayatan terhadap falsafah negara Melayu Islam Beraja (MIB).

    Sebagaimana lazimnya pada tahun-tahun sebelumnya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Penyelaras Aktiviti Keagamaan telah menjalankan Program Halaqah Khatam Al-Quran, iaitu Program Membaca Al-Quran secara berkumpulan sehingga mengkhatamkan 30 Juzuk yang disasarkan khusus bagi pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda UNISSA.

    Seramai 35 orang mahasiswa dan 85 orang mahasiswi daripada Program Sarjana Muda, Program Diploma dan Program Peningkatan telah berjaya khatam Al-Quran dan diraikan pada majlis itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda